Mak selalu kata Bambi antik. Pantang di marah sikit mulalah merajuk dan menangis. Abang tak suka bawa Bambi keluar ‘mengembara’ sebab Bambi sangat cemerkap (clumsy). Kalau kaki tangan tak luka-luka kena duri semalu atau lutut luka tergelincir sampai seluar koyak memang tak sah. Mak tak bagi Bambi keluar rumah ikut abang ‘mengembara’, katanya bahaya, banyak harimau. Tapi mak tak kisah abang keluar rumah, katanya abang lari laju, tak mudah jatuh cam Bambi. Kata mak abang pandai panjat pokok, Bambi tak pandai. Mak kata abang Pengakap macam bapak. Mak suruh Bambi duduk rumah baca buku.
Tiap hujung minggu abang akan minta duit kat mak sebab nak pergi kedai Ah Kow. Kedai Ah Kow jauh, kena lalu padang sekolah dan panjat bukit baru boleh sampai. Macam cikgu Malisin, Ah Kow juga pelihara anjing. Anjing Ah Kow lagi jahat berbanding Boy, semua orang dia salak. Entah macamana kedai Ah Kow boleh laku. Kedai Ah Kow satu-satunya kedai runcit terdekat di Pinawantai. Bapak selalu kata, “Tengok orang Cina, kat mana-mana pun boleh berniaga. Mereka pandai cari duit.”
Bambi suka pergi ke kedai Ah Kow. Dia banyak jual makanan ringan dan mainan kotak. Mak tak bagi Bambi ikut abang pergi kedai Ah Kow, tapi Bambi selalu curi-curi ikut abang. Abang tak kisah. Dia selalu pesan, kalau nampak anjing Ah Kow, jangan lari nanti kena kejar. Ah Kow sendiri yang cakap macam tu.
Abang selalu ajak Bambi ikut Mamat dan Sunil curi jagung kat kebun orang. Jagung yang dapat kami bakar kat bawah rumah Mamat. Bila mak Mamat tanya, dari mana dapat jagung, kami cakap orang kampung bagi. Bila petang pukul 5.30 kena ada kat rumah sebab mak suruh pergi mengaji. Bambi mengaji dengan abang di rumah Ustaz Pakar (nama sebenar Bakar). Mengaji muqaddam sambil bawa rehal dalam beg plastik. Rehal tu bapak yang buat sendiri. Lepas abis mengaji, Bambi pun balik rumah, biasanya pukul 7 dah siap semua. Pukul 7 biasanya dah gelap. Bila bapak tak datang jemput, Ustaz Pakar hantar balik. Sebab kalau jalan pulang dengan abang, abang selalu lari tinggalkan Bambi jalan sorang-sorang. Bambi selalu balik berlari menangis ketakutan. Mak selalu marah abang sebab tinggalkan Bambi. Tapi abang tak pernah serik. Mak kata Bambi antik.
Suatu hari, bapak turun ke ibu kota. Ada kursus katanya. Mak, Bambi dan abang dah biasa dan kami tak kisah. Ayah memang banyak kursus. Kadang-kadang dengan Pejabat Pendidikan Daerah, kadang-kadang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Kadang-kadang bapak pergi kursus seminggu, kadang-kadang sebulan. Bambi, abang dan mak dah biasa.
Tengahari sabtu itu hari hujan. Mak tak bagi Bambi dan abang pasang TV. Mak kata nanti TV disambar petir. Bambi dan abang tak bantah. Yang penting pukul 4.30 petang nanti ada Flashman dan pukul 5 ada Satria Perkasa Hitam. Itulah satu-satunya rancangan TV yang mak bagi tengok. Biasanya mak tak bagi bukak TV selagi tak siap kerja rumah. Mak tak reti tarik tuas generator. Biarpun bapak ajar berkali-kali, mak tetap tak pandai. Biasanya kalau bapak tiada di rumah, mak suruh Larry, anak cikgu Malisin tolong pasangkan generator. Tapi lama-kelamaan, abang pun dah pandai tarik tuas generator. Kalau mak tidur petang, abang akan pasang generator supaya kami dapat tengok TV. Mula-mula mak tak bagi abang pasang generator, takut generator meletup katanya. Tapi lama-lama mak percaya pada abang.
Selepas tengok Flashman dan Satria Perkasa Hitam, Bambi ikut abang, Mamat dan Sunil pergi parit. Hujan sudah berhenti. Mereka ajak tangkap ikan dekat parit besar. Kami terjun berkubang di parit besar tepi padang sekolah, Mamat bawak bakul kecil untuk tangguk ikan. Kami dapat banyak ikan puyu dan sepat. Semakin banyak, kami semakin terleka sehingga hari sudah lewat petang.
Tiba-tiba mak datang. Mak nampak marah. Mak cekak pinggang. Mak jerit suruh Bambi dan abang keluar dari parit. Mak kata “Jagalah korang berdua, sampai rumah nanti siap!”. Bambi dan abang paham maksud mak. Abang pura-pura menangis ketakutan. Bambi tak menangis tapi sebabkan abang cubit, Bambi menangis sekali. Sampai rumah, mak suruh mandi. Mak marah sebab kami tak pergi mengaji. Mak marah sebab kami berkubang di parit. Mak marah sebab baju kotor. Mak marah sebab mak kata berkubang dekat parit boleh lemas (walaupun parit itu cuma setakat pinggang Bambi).
Selepas mandi, kami bergegas pakai baju melayu hendak pergi mengaji. Mak kata, hari ni tak perlu pergi mengaji. Bambi dan abang hairan. Tapi kami nampak mak pegang tali pinggang bapak. Petang itu Bambi dan abang kena cukup-cukup oleh mak. Tak cukup dengan tali pinggang, mak guna raket badminton bapak. Kedua-dua raket bapak patah. Malam tu mak tak bagi kami keluar bilik. Mak tak bagi makan. Bambi dan abang menangis dalam bilik. Abang kata mak adalah ibu tiri, Bambi menangis lebih kuat. Lewat malam, mak datang kejut. Mak bawa minyak gamat. Mak usap ke badan abang dan Bambi. Mak nangis, mak kata mak sayang Bambi dan abang. Mak takut abang dan Bambi lemas di parit. Mak buat susu Nespray untuk Bambi dan abang. Susu rasa tawar. Mak letak gula. Kemudian mak tidur sekali di bilik Bambi dan abang. Bambi masih teresak-esak, mak tepuk Bambi sampai Bambi tidur. Mak bisik kat Bambi “Jangan bilang kat bapak mak pukul.” Mak tahu abang tak akan mengadu. Mak tahu Bambi suka mengadu kat bapak. Sebab bapak sayang Bambi. Mak bisik lagi “Sayang mak kan?”. Bambi tak jawab.
Abang suka buli Bambi. Tiap kali abang buat salah, abang suruh Bambi mengaku sebab mak tak selalu pukul Bambi. Sebab bapak tak bagi mak pukul Bambi. Bapak tak marah kalau mak pukul abang. Sebab abang nakal sangat. Tapi mak tak suka pukul abang, mak suka marah Bambi. Bapak sayang Bambi sebab Bambi rajin baca buku. Sebab tu, Kalau pinggan pecah, abang kata Bambi yang buat. Kalau air tumpah, abang tuduh Bambi. Kalau Bambi tak mengaku, abang tak bagi ikut dia main dengan Mamat dan Sunil. Bambi terpaksa mengaku sebab Bambi tak sampai hati tengok abang kena marah. Nanti mak tak bagi abang keluar. Bila abang tak keluar mak tak bagi Bambi keluar sorang-sorang. Sebab itu Bambi akan mengaku salah abang.
Bila abang buat Bambi nangis, mak tak marah abang. Mak kata Bambi antik, usik sikit nak nangis, usik sikit mengadu. Bambi boleh mengadu kat bapak je. Bapak tak pernah pukul. Bapak tak pernah angkat tangan kat Bambi atau abang. Bapak selalu nasihat abang suruh jaga Bambi sebab abang anak sulung. Bapak suruh Bambi dan abang ikut cakap mak. Bambi ikut cakap mak, tapi mak selalu marah Bambi. Sebab tu Bambi tak suka mengadu kat mak, nanti Bambi akan kena marah pulak. Kalau bapak outstation lama tak ada di rumah, Bambi tulis apa yang abang buat kat Bambi atas kertas. Bila bapak pulang Bambi tunjuk kat bapak. Bapak tak marah abang, bapak nasihat sahaja. Abang suka sorok dan padam kertas Bambi. Bila Bambi bagi kertas kat mak suruh simpan bagi kat bapak bila bapak pulang nanti, mak guna kertas tu untuk sendal pintu.
Mak kata Bambi antik. Tapi Bambi tetap sayang mak. Mak pandai masak. Mak pandai nyanyi. Mak tak jahat. Mak pukul Bambi dan abang sebab mak sayang. Bambi percaya sebab mak Mamat dan Sunil pun pukul mereka. Mak tak pukul selalu. Tapi mak selalu cubit. Mak pukul bila kami sangat nakal. Bila mak pukul Bambi, Bambi janji tak buat lagi. Abang janji, tapi dia buat lagi. Mak cakap benda betul. Kena ikut cakap mak kalau tak nak kena marah.
Kalau ikut cakap mak, mak bagi coklat. Kalau ikut cakap mak, mak bagi ayam goreng lebih. Abang selalu dapat ikan goreng sebab dia nakal. Tapi abang suka curi ayam Bambi. Bambi tak boleh nangis, nanti mak marah. Kalau ikut cakap mak, mak janji belikan mainan. Kalau ikut cakap mak, mak letak bintang lebih kat buku latihan sekolah. Abang kata dia boleh lukis bintang sendiri, sebab tu dia nakal. Tapi bintang abang warna hitam, bintang Bambi warna merah. Mak tak bagi guna pen merah. Pen merah hanya untuk cikgu.
Bapak kata tak boleh benci mak, nanti jadi batu. Kena sayang mak. Aishah nyanyi ‘Syurga di Bawah Telapak Kaki Ibu’. P.Ramlee sayang mak sebab dia nyanyi “Ibu Ratu Hatiku”. Bambi sayang mak jugak.
Tapi, mak kata Bambi antik…Bambi tak tahu maksud antik.
No comments:
Post a Comment