Kathy
“Kathy tu anak angkat cikgu Malisin” kata emak bila Bambi tanya pada suatu hari.
Bambi kagum dengan mak, mak tahu semuanya pasal setiap orang di kawasan kejiranan perumahan guru ni. Walaupun mak isteri kepada guru besar, mak sangat rajin beramah mesra dengan semua orang. Bukan setakat di kawasan kejiranan ini sahaja mak buat kawan. Sampai ke perkampungan rumah panjang pun mak rajin bertandang. Kata mak “Kita kena baik dengan semua orang. Nanti orang sayang. Bila kita susah, orang akan tolong.”
Bambi kagum dengan mak, mak tahu semuanya pasal setiap orang di kawasan kejiranan perumahan guru ni. Walaupun mak isteri kepada guru besar, mak sangat rajin beramah mesra dengan semua orang. Bukan setakat di kawasan kejiranan ini sahaja mak buat kawan. Sampai ke perkampungan rumah panjang pun mak rajin bertandang. Kata mak “Kita kena baik dengan semua orang. Nanti orang sayang. Bila kita susah, orang akan tolong.”
Kata mak Bambi lagi, Kathy tu umur empat tahun lebih tua dari Bambi. Dia diambil oleh keluarga cikgu Malisin dari keluarga Rungus yang miskin. Keluarga Kathy tinggal jauh dari sekolah sehingga tidak membolehkan Kathy berjalan kaki setiap hari untuk ke sekolah. Kerana ingin menyekolahkah Kathy, keluarga cikgu Malisin bersetuju menumpangkan Kathy di rumah mereka.
Pada umur lima tahun, Bambi masuk darjah satu. Walaupun terawal dua tahun, tapi Bambi tak kisah kerana guru kelas Bambi adalah mak Bambi sendiri. Bambi tiada masalah pendaftaran kerana bapak Bambi adalah guru besar. Sebab utama Bambi disekolahkan awal adalah kerana mak tak nak tinggalkan Bambi seorang di rumah disebabkan tiada siapa yang akan menjaga Bambi ketika abang, emak dan bapak berada di sekolah. Di situlah Bambi kenal lebih rapat dengan Kathy. Kathy waktu itu adalah ketua darjah sebab usia Kathy lebih tua berbanding yang lain. Dia seorang gadis yang pintar meskipun hidup dalam kemiskinan. Mak selalu puji Kathy.
Disebabkan Kathy tinggal menumpang di rumah cikgu Malisin yang bersebelahan dengan rumah Bambi sekeluarga, makanya Bambi selalu terpandang pada Kathy. Mak selalu ajak Kathy datang ke rumah untuk belajar bersama-sama Bambi. Mak akan buatkan minuman sirap ros dan hidangkan biskut gula untuk kami. Bambi dah jemu makan biskut gula, tapi Kathy sangat suka. Bambi selalu nampak Kathy membaca buku diluar rumah. Kathy sangat rajin.
Malangnya kehidupan Kathy di rumah cikgu Malisin sangat derita. Di usia muda, dia dikerah melakukan banyak kerja rumah oleh keluarga cikgu Malisin. Mereka sering memarahi Kathy bila sahaja Kathy ingin membaca buku. Bambi selalu dengar Kathy menangis di dapur. Kathy tidak ubah seperti orang gaji. Dia dikerah bagai buruh kanak-kanak. Dia tidak boleh keluar rumah sesuka hati tanpa izin. Dia kehilangan kebebasan bermain seperti rakan sebaya yang lain. Bukan sekali Bambi terlihat Kathy dipukul dengan batang penyapu, kepalanya ditolak-tolak dan rambutnya ditarik. Entah apa salah Kathy, Bambi pun tak tahu.
Bambi cerita pada emak, emak suruh Bambi adu pada bapak. Bambi pernah cerita pada bapak, tapi bapak tidak buat apa-apa. Bambi kecewa pada bapak. Mungkin bapak takut pada senapang patah cikgu Malisin. Mak kata bapak hormat pada cikgu Malisin, cikgu Malisin jauh lebih tua dari bapak. Dia telah lama mengajar di sekolah itu sebelum bapak ditugaskan di situ lagi. Makanya setiap hari Kathy akan mengalami penderaan tanpa ada siapa mampu berbuat apa-apa.
Suatu hari Bambi, nampak Kathy sedang membaca buku di tangga dapur. Bambi beranikan diri datang menghampiri Kathy. Kathy nampak sangat tidak terurus. Dia kata sudah seharian dia tidak makan, dia dihukum kerana memasak sayur terlebih masin. Itu sahaja kesalahan yang dilakukannya. Umur 9 tahun telah dipaksa memasak. Bambi kesian pada Kathy. Bambi cerita pada mak, mak juga kasihan, mak suruh Bambi ke rumah cikgu Malisin untuk ajak Kathy belajar bersama petang itu. Bambi tahu, itu cuma alasan mak untuk mengajak Kathy datang ke rumah Bambi.
Petang itu, Kathy datang bersama buku latihan lusuhnya. Satu-satunya sebab dia dibenarkan keluar rumah adalah untuk belajar bersama Bambi. Mereka tiada alasan untuk menghalang Kathy datang ke rumah keluarga Bambi. Mungkin kerana mereka hormatkan bapak dan mak Bambi. Di rumah, mak bagi Kathy makan nasi dan telur goreng berkicap, Kathy tidak berani makan kerana takut diketahui keluarga angkatnya itu. Mak hidangkan pula sirap dan biskut gula. Kathy tidak dapat menolak, dia makan biskut tersebut dengan selera sambil sekali sekala mencelup ke dalam sirap. Bambi gembira tengok Kathy makan. Mak juga gembira.
Sejak dari itu, Bambi dan Kathy berkawan baik. Mak selalu mengusik Bambi kononnya sukakan Kathy. Sebenarnya pada usia semuda itu, Bambi tak paham konsep perasaan cinta. Bambi dan Kathy pernah membuat murid-murid kecoh kerana berpegangan tangan sambil berjalan beriringan di sekolah. Mak, bapak dan abang Bambi juga tahu. Pada waktu itu, berpegangan tangan dianggap taboo dikalangan anak-anak sekolah. Bagi mereka, berpegangan tangan hanya untuk orang dewasa sahaja. Bambi menganggap Kathy sebagai kawan yang baik, Bambi tahu dia tidak gembira di rumah makanya Bambi mahu dia gembira di sekolah. Satu-satunya tempat dia tidak akan dikerah dan dimarahi. Mak dan ayah juga tidak menghalang.
Suatu hari, Bambi sangat sedih. Sudah lama Bambi tidak melihat Kathy. Kathy juga telah lama tidak datang ke sekolah dan di rumah cikgu Malisin juga dia tidak kelihatan. Bambi bertanya pada mak, mak kata cikgu Malisin telah menghantar Kathy kembali semula ke rumah keluarganya. Dia sudah tidak bersekolah lagi. Semenjak itu Bambi tidak nampak Kathy lagi. Mak kata, Kathy tinggal jauh, bapak juga tidak tahu Kathy tinggal di mana.
Hanya beberapa tahun selepas itu, Bambi dapat tahu sebab sebenarnya Kathy dihantar balik. Bapak telah menegur cikgu Malisin atas apa yang telah dilakukannya terhadap Kathy. Cikgu Malisin melenting lalu menghantar Kathy pulang semula kepada keluarganya. Bila Bambi bertanya pada bapak kenapa bapak tidak ambil Kathy sebagai anak angkat dan tinggal bersama Bambi sekeluarga. Bapa kata, semuanya bukan semudah itu. Keluarga Kathy tidak mudah mempercayai orang lain, lebih-lebih lagi orang luar. Cikgu Malisin adalah anak tempatan Pinawantai, Kudat. Dia dihormati oleh orang kampung berdekatan kerana menjadi satu-satunya anak Rungus kawasan itu yang menjadi guru. Sebab itulah keluarga Kathy sanggup melepaskan Kathy untuk tinggal dengan cikgu Malisin sekeluarga kerana meraka mahu Kathy menjadi guru seperti cikgu Malisin. Sayangnya, Kathy tidak bersekolah lagi. Bambi tahu, Kathy seorang gadis yang pintar. Tapi Bambi tetap gembira, sekurang-kurangnya dia gembira bersama keluarga kandung. Meski sekadar menuai padi huma.
Suzannah
Suzannah adalah anak kedua cikgu Joseph. Suzannah mempunyai seorang abang yang menuntut di Sekolah Menengah dan seorang adik bernama Suriannah. Bambi tidak suka Suriannah, tapi abang Bambi suka pada Suriannah sebab dia cantik. Keluarga cikgu Joseph tinggal di sebelah rumah cikgu Malisin. Selang sebuah rumah dari rumah Bambi. Suzannah jauh lebih tua dari Bambi. Sewaktu Bambi mengulangi darjah satu di usia enam tahun, Suzannah berada di darjah lima.
Kisah Suzannah tidak jauh beza dari Kathy. Dia juga menjadi mangsa penderaan. Hanya bezanya, Suzannah di dera oleh keluarga kandung sendiri. Bambi selalu pergi ke rumah Suzannah dan Suriannah untuk bermain bersama mereka adik beradik. Di tepi balkoni rumah mereka, ada sebatang pokok durian belanda. Bambi selalu datang ke rumah mereka untuk bertanyakan buah masak. Kerana menurut mereka dua beradik, jika buah itu sudah masak, baunya sangat harum dan mereka akan mengajak Bambi makan bersama.
Mak Bambi selalu menyuruh Bambi ke rumah mereka untuk meminta serai yang tumbuh subur di belakang rumah mereka. Setiap kali Bambi berkata kepada mak Suzannah yang mak Bambi nak minta serai. Mak Suzannah akan berjenaka,
“Apa? Mak kau mintak cerai?” celaka betul mulut makcik ni. Dia tak tahu karma itu datang tak lama lagi.
Bambi tak ingat nama mak Suzannah. Mak Bambi selalu panggil dia sebagai ‘mak Suzannah’ makanya memang patutlah Bambi tak ingat nama sebenarnya. Adapun mak Suzannah adalah seorang Bajau Islam manakala bapa Suzannah, cikgu Joseph adalah muallaf Rungus anak tampatan, maka tidak hairanlah dia masih meneguk arak walupun telah lama memeluk Islam.
Suzannah sering disuruh membuat kerja rumah bagi membantu ibunya. Dia disuruh memasak, membasuh kain, menyapu rumah dan banyak kerja lain tiap kali balik dari sekolah. Adiknya Surianah selalu dimanjakan. Alasannya adalah, Suriannah jauh lebih cantik berbanding kakaknya. Walaupun pada usia muda, kecantikan Suriannah sangat terserlah. Sebab itulah, tiap kali ada pertandingan ratu cantik kanak-kanak pada Hari Penyampaian Hadiah Sekolah, Suriannah selalu menang. Mungkin sebab kelebihannya itulah Suriannah sedikit sombong dan suka mengadu domba perihal kakaknya agar kakanya selalu dimarahi dan dipukul.
Walaupun usianya lebih dewasa dari Bambi, Suzannah tidak pernah jemu melayan Bambi. Dia selalu berkata yang dia inginkan adik lelaki kerana tidak sukakan adiknya Suzannah. Sebab itu, Bambi selalu dimanjakan berbanding adiknya sendiri. Emak Suzannah menjaja di kantin sekolah dan Suzannah selalu membantu ibunya di kantin selain di rumah. Bambi akui, masakan mak Suzannah memang sedap, sebab itulah murid-murid dari sekolah menengah berdekatan sering datang makan di kantin sekolah Bambi.
Bambi jarang sekali bertemu dengan abang Suzannah, kerana menurutnya abangnya tinggal dengan datuk dan nenek mereka di kampung berdekatan kerana kedua-duanya sudah uzur. Juga disebabkan bilik di rumah Suzannah yang hanya ada dua itu tidak membolehkan abangnya tinggal bersama. Apatah lagi abangnya itu telah dewasa. Oleh yang demikian, Bambi tidak begitu ingat tentang perihal abang Suzannah. Tak penting pun.
Suatu hari, seorang guru baru telah ditugaskan mengajar di SK Pinawantai, sekolah Bambi. Nama cikgu itu adalah cikgu Anita. Bambi masih ingat lagi muka cikgu Anita sebab wajahnya mirip pelakon wanita yang popular ketika itu, Maria Farida. Cikgu Anita digilai ramai guru lelaki di sekolah itu termasuklah cikgu Joseph. Perihal cikgu Joseph dan cikgu Anita menjadi buah mulut bukan sahaja di kalangan guru malahan di kalangan murid-murid. Bapak yang mengetahui tentang hal itu telah menukarkan cikgu Anita daripada seorang guru bahasa Inggeris kepada guru pusat sumber, bermakna cikgu Anita akan berada di pusat sumber sepenuh masa dan hanya diperlukan sekiranya perlukan guru gantian. Selain cikgu Anita ada lima orang lagi cikgu yang mengajar bahasa Inggeris iaitu cikgu Jamayah, cikgu Noniah, cikgu Tajul dan dua yang lain, makanya tidak ada siapa yang mempersoalkan tindakan bapak itu.
Malangnya, rancangan bapak untuk menjauhkan cikgu Anita dari cikgu Joseph tidak berjaya. Cikgu Joseph sering pula berkunjung ke pusat sumbar untuk bertemu cikgu Anita dan ini disaksikan oleh Bambi sendiri. Bambi sering berada di pusat sumber selepas habis waktu persekolahan pagi kerana mak dan bapak Bambi berada di sekolah dari pagi hingga ke petang, tiada siapa yang akan menjaga Bambi di rumah. Oleh itu, Bambi disuruh untuk berada di pusat sumber untuk membaca buku dan menyiapkan kerja rumah. Kerana Bambi ini seorang budak yang jujur, Bambi sering menceritakan apa yang Bambi lihat perihal cikgu Joseph dan Anita kepada mak. Mak pula menceritakan kepada bapak.
Skandal cikgu Joseph dan Anita ini berlarutan berbulan lamanya sehinggakan mak Suzannah mendapat tahu. Sejak itu, nasib Suzannah bertambah malang. Ibu dan bapanya sering bertengkar mengenai hal itu. Suzannah pula menjadi mangsa penderaan ibu dan bapanya. Ibunya memukulnya bagi melepaskan kemarahan terhadap bapanya. Manakala bapanya, semenjak pergaduhan itu amat kerap minum dan balik ke rumah lewat malam dalam keadaan mabuk. Suzannah dipukul tanpa sebab. Suzannah sering datang ke rumah Bambi untuk mengadu pada mak Bambi sambil menangis teresak-esak. Kadang-kadang lewat malam Suzannah datang ke rumah mengetuk pintu dengan badannya penuh berbirat kesan tali pinggang ayahnya.
Seperti kisah Kathy, pada mulanya bapak tidak mahu turut campur dalam permasalahan keluarga mereka. Mak pula mengambil pendekatan sama dengan Kathy. Mak menyuruh Suzannah untuk datang tidur di rumah Bambi setiap malam tiap kali bapa Suzannah keluar rumah untuk minum. Ini untuk mengelakkan Suzanna dipukul apabila bapanya balik lewat malam bilamana pergaduhan tercetus antara kedua ibu bapanya. Emak terlebih dahulu memberitahu mak Suzannah tentang hal ini selepas menasihatkannya tentang hal tersebut. Hubungan mak dengan mak Suzannah agak baik dan maknya menceritakan hal sebenarnya di balik penderaan Suzannah.
Mak diberitahu bahawa Suzannah sering menghalang bapanya dari memukul ibunya menyebabkan bapanya menyakiti Suzannah. Oleh itu dia terpaksa memukul Suzannah bagi mengelakkan suaminya memukul anak gadisnya itu. Kerana katanya lagi, jika suaminya yang memukul Suzannah, ia akan menjadi lebih teruk dan Suzannah akan luka-luka dan lebam. Katanya dia memukul Suzannah untuk menyelamatkan dirinya dan anak gadisnya itu dari mendapat kecederaan lebih teruk dari suaminya.
Pada suatu tahap, bapak sudah hilang toleransi pada perlakuan cikgu Joseph apabila tabiat mabuknya menyebabkan dia sering tidak hadir mengajar di sekolah. Pada suatu malam, bapak sendiri menghubungi pihak polis untuk menangkap cikgu Joseph ketika dia mendera Suzannah. Suzannah cedera teruk, bibirnya pecah, matanya lebam dan tangan kakinya berbirat teruk akibat penangan tali pinggang. Cikgu Joseph ditahan seminggu di lokap kerana pada malam yang sama dia turut berkelahi dan mencederakan orang lain ketika sedang minum sebelum pulang ke rumah mendera Suzannah. Selepas dibebaskan, cikgu Joseph diberi amaran untuk menjauhi keluarganya, dia tinggal semula bersama datuk dan nenek Suzannah. Dia juga diberi cuti oleh bapak.
Pada Hari Penyampaian Hadiah 1991, mak Bambi bertugas dalam menguruskan persembahan. Antara persembahan yang dirancang adalah, pertandingan ratu cantik cilik dan lakonan. Pertandingan ratu cantik disertai oleh Suriannah manakala lakonan disertai oleh Suzannah sebagai watak utama.
Di waktu hari yang dinantikan, seperti lazimnya, Suriannah memenangi pertandingan ratu cantik cilik. Sewaktu persembahan lakonan bermula, cikgu Joseph dan isterinya datang menyaksikan persembahan itu atas jemputan bapak dan mak. Bambi juga tidak tahu mengapa. Apabila persembahan berlangsung, barulah Bambi faham bahawa lakonan yang dipersembahkan itu adalah berkaitan kisah sebenar hidup Suzannah. Suzannah benar-benar dapat menghayati lakonan itu kerana ia benar-benar berlaku dalam hidupnya. Pada suatu babak, Suzannah benar-benar menangis apabila didera oleh pelakon yang melakonkan watak sebagai ayahnya.
Ketika persembahan itu berakhir, Bambi betul-betul menangis. Mak, guru-guru dan ramai penonton yang tahu kisah hidup Suzannah turut menangis. Tapi yang lebih bermakna, persembahan itu membuatkan cikgu Joseph sedar terhadap kelakuannya selama ini. Dia berlari memeluk Suzannah di atas pentas diikuti oleh ibunya. Ramai yang bertepuk tangan dan ada yang juga yang tambah terharu. Bambi tidak menyangka, Hari Penyampaian Hadiah tahun itu betul-betul bermakna buat Suzannah. Biarpun seperti sangat cliché, tapi perkara ini benar-benar berlaku.
Selepas itu, Bambi tidak dengar lagi cerita tentang penderaan Suzannah. Cikgu Joseph benar-benar berubah lebih-lebih lagi apabila cikgu Anita telah ditukarkan ke sekolah lain atau cadangan bapak. Bambi sangat gembira, setiap kali Bambi ke rumah Suzannah, Bambi tidak nampak matanya yang sembap akibat terlalu banyak menangis dan tiada lagi kesan birat di badannya. Cikgu Joseph juga, menurut Suzannah tidak lagi minum dan sering berada di rumah untuk melayani isteri dan dua anak gadisnya itu.
Kisah-kisah ini Bambi tetap akan ingat selamanya. Mak Bambi juga terkejut apabila Bambi membuka kembali cerita ini walaupun sudah berbelas tahun berlalu kerana Bambi masih mengingati cerita ini dengan penuh terperinci. Mak Bambi juga banyak menceritakan hal-hal yang Bambi tidak tahu sebelum ini menjadikan Bambi lebih memahami cerita ini. Kini walau telah lama keluarga Bambi tinggal di ibu negeri, cebisan kisah kehidupan di daerah pedalaman masih kekal diingati.
Entah apa kisahnya Suzannah dan Kathy kini?
No comments:
Post a Comment