“Kaki abang banyak kudis sebab dia suka main kat tanah kotor tak pakai selipar,” kata mak
Bambi tak suka main kat tanah kotor. Bambi selalu pakai selipar. Tapi abang selalu sembunyi selipar Jepun Bambi. Abang suka pakai selipar Jepun Bambi. Sebab selipar abang selalu putus. Sebab abang suka baling selipar dekat Boy. Boy gigit selipar abang dan sembunyi bawah rumah cikgu Malisin. Mak kata selipar abang dah tak boleh pakai. Mak belikan selipar baru. Mak selalu kata, kalau tak pakai selipar, kaki masuk cacing. Mak selalu pesan, kalau masuk rumah angkat selipar letak atas rak kasut, lepas tu basuh kaki, lap kering-kering. Kalau tak simpan selipar elok-elok, nanti orang curi selipar. Nanti anjing gongong selipar. Orang Rungus kampung tak suka pakai selipar. Sebab mereka takde duit beli selipar. Tapi mereka suka curi selipar.
Mak selalu beli Scott’s Emulsion. Mak selalu beli yang warna putih. Bambi dan abang tak suka warna putih. Kami suka warna oren, rasa oren. Warna putih bau hanyir, rasa ikan mentah. Mak kata oren atau putih sama saja. Dua-dua pun minyak ikan. Bambi tanya ikan apa? Mak kata ikan kod. Bambi tanya ikan goreng atau rebus. Mak kata ikan mentah. Bambi dan abang tambah geli.
Setiap hari mak paksa Bambi dan abang makan Scott’s Emulsion satu sudu setiap seorang. Tapi Bambi dan abang tak suka warna putih, kami sembunyi bawah meja makan. Sebelum bagi makan, mak kunci pintu. Kalau tak makan, mak tak bagi keluar bermain. “Tak boleh lari! Mesti makan supaya tak selalu sakit,” kata mak. Mak tahu kami sembunyi kat mana. Mak kata kalau tak datang dekat dia, dia suruh makan dua sudu. Mak kata, kalau tak suka cium bau, picit hidung, telan cepat-cepat lepas tu minum air. Mak suruh makan bagi habis. Mak suruh jilat sudu.
Kalau mak lupa, abang kata “Jangan ingatkan mak!”. Tapi mak tak pernah lupa. Mak pernah kejut tengah malam sebab lambat bagi makan Scott’s Emulsion. Kalau mak sibuk, mak suruh makan sendiri. Bambi makan sebab mak tahu kalau kami tipu. Mak hidu sudu Bambi. Abang selalu tipu, dia letak sikit je dalam sudu dan makan, lepas tu dia tunjuk sudu kat mak. Bambi cakap kat mak abang makan sikit. Abang kata yang lain tumpah.
Kalau Scott’s Emulsion putih habis, Bambi dan abang gembira sebab tak perlu makan lagi. Bila turun pekan Kudat, mak tak lupa beli sebab mak selalu letak dalam senarai barang untuk dibeli. Mak selalu beli tiga botol sekaligus sebab boleh dapat hadiah percuma. Mak letak warna putih dalam troli. Abang curi-curi tukar warna oren. Bila nak bayar, mak jadi geram, mak pulas telinga abang suruh tukar balik. Mak suruh ambil botol besar. Padan muka abang kena piat telinga. Padan muka Bambi juga, kena makan warna putih lagi.
Bila Bambi dan abang tanya kenapa mak tak beli warna oren lagi. Mak kata yang oren tu masam. Bila makan yang oren, kami batuk-batuk. Mak selalu cakap, kalau beli yang warna oren cepat sangat habis. Bambi tahu itu kerja abang. Abang suka makan dua tiga kali bila mak beli yang oren. Mak letak Scott’s Emulsion perisa oren atas rak tinggi. Abang selalu curi-curi makan sebab dia pandai panjat rak. Bila Bambi nampak abang curi-curi makan, Bambi ugut bilang kat mak. Abang kata, kalau Bambi tak cakap kat mak, Bambi boleh makan sekali. Bambi tak bagi tahu mak.
Waktu kecil, Bambi dan abang selalu sakit. Bambi dan abang selalu demam dan batuk-batuk. Bapak kata kami batuk sebab suka minum minuman bergas bila pergi kedai Ah Kow. Bapak tahu bila kami minum Fanta sebab bapa tengok lidah kami warna merah dan oren. Bapa pesan kat Ah Kow jangan jual minuman gas sejuk dekat kami. Bapa suruh beli cincau, air bunga dan soya yang tak sejuk sahaja. Tapi abang pandai. Dia suruh Mamat dan Sunil pergi beli. Abang bagi upah 20 sen. Bila Bambi mintak minuman abang, abang tak kasi. “Nanti batuk!” kata abang. Bambi jawab balik “Abang boleh?”. Abang jawab “Abang dah besar, Bambi kecik lagi.” Bila Bambi ugut bilang kat mak, baru abang bagi Bambi minum.
Mak dan bapak tak bagi makan gula-gula, keropok, aiskrim dan coklat. Bapak kata nanti batuk. Mak kata nanti gigi buruk. Kadang-kadang kami makan jugak. Mak selalu kata “Ubat!” bila bagi kami makan. Bambi tanya “Kenapa kata ubat?”. Mak kata supaya kami tak batuk. Mak kata itu doa supaya kami tak batuk. Bila Bambi tanya, kenapa tak cakap “Ubat!” bila kami batuk, tak perlu pergi klinik doktor. Mak kata kalau dah batuk, kena jumpa doktor, dapat ubat betul. Kalau tak nak makah ubat pahit, jangan makan keropok, cokelat dan gula-gula. Jangan minum sejuk dan bergas. Kata mak dan bapak memang betul. Kalau tak makan benda manis kami tak batuk. Gigi kami pun tak buruk. Tak macam gigi Mamat, Ancut, Sunil dan Didi. Gigi mereka rongak. Gigi mereka buruk sebab banyak makan benda manis. Tapi mereka tak batuk.
Bila kami sakit mak bilang kat bapak “Kami ‘sihat’”. Bambi tanya mak kenapa sebut ‘sihat’. Mak kata kalau sebut sakit, nanti kami lebih sakit. Kena sibut ‘sihat’ supaya kami sihat. Mak kata itu doa mak. Bila kami tiba-tiba batuk mak selalu senyum cakap “Alamak, kambuh lagi dong!” lepas tu mak cakap “Itulah, makan benda manis lagi. Minum benda sejuk lagi.”
Mak selalu kata Bambi dan abang tak pernah putus ubat. Tiap bulan kena pergi klinik sebab selalu demam dan batuk. Bila Bambi tanya kat doktor kenapa tak boleh makan dan minum benda manis dan sejuk, orang lain boleh, mak dan bapak boleh. Doktor kata “Memang macam tu”. Bambi tanya kenapa, doktor senyum pandang mak dan bapak. Mak dan bapak pun senyum. Mak kata, jangan tanya lagi, nanti doktor suntik jarum. Bambi takut, abang pun takut. Bila jumpa doktor, doktor suruh Bambi dan abang buka mulut. Doktor masukkan kayu tekan lidah. Abang kata itu kayu aiskrim. Abang kata doktor suka makan aiskrim, dia suka kumpul batang aiskrim. Bambi tanya “Kenapa kayu tu tak rasa manis?”
Mak kata kalau hujan, jangan berdiri bawah pokok. Kena lari balik cepat-cepat. Jangan main hujan, nanti demam. Kalau demam nanti kena jumpa doktor. Kalau jumpa doktor nanti kena suntik. Bila kami demam, mak suka letak kain basah atas dahi. Bambi tak suka. Mak kata supaya kepala tak panas. Bila demam mak tidur sebelah sambil kipas guna kipas anyam. Waktu malam generator kena tutup. Mak pasang lampu pelita minyak tanah ada gambar perempuan Cina. Bambi tanya siapa nama perempuan tu. Mak kata nama dia “Amoi”
Tiap malam mak selalu kipas kami sebelum tidur. Mak ajar baca doa tidur. Mak suruh ikut dia baca doa tidur. Mak selalu nyanyi “Subahanallah, Walhamdullillah, Walailahaillallah, Allahuakbar.” Mak ulang sampai kami tidur. Bila Bambi tanya apa maksud lagu tu, mak kata itu lagu puji-pujian kepada Allah. Supaya Allah jauhkan dari mimpi buruk dan hantu. Bambi ingat siapa Allah. Ustazah Sa’adah pernah ajar lagu tentang Allah.
“Tuhan Allah hanya Satu. Tiada ayah, tiada ibu. Tiada kawan, tiada seteru.”
Bambi tanya pada ustazah, Tuhan Allah tinggal di mana. Ustazah kata Allah tinggal tinggi di langit. Ustazah kata Allah Maha Besar, Maha Perkasa, Maha Kuat.
Bambi tanya, “Lebih kuat dari Gaban?”
Ustazah senyum, dia kata “Lebih kuat dari segala-galanya.”
“Ultraman?”
“Ultraman tak boleh lawan. Allah Maha Berkuasa.”
“Maha...thir?”
Ustazah ketawa. Dia kata Bambi banyak tanya, giliran ustazah pulak tanya. “Rukun Islam ada berapa?”
“Lima!”
“Apa dia?”
Bambi berdiri dan angkat tangan kanan dekat kepala “Maka kami! Berikrar! Akan menumpukan, seluruh tenaga, dan usaha kami. Untuk mencapai cita-cita berikut. Kepercayaan kepada Tuhan. Kesetian kepada Raja dan Negara. Keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Undang-undang. Kesopanan dan Kesusilaan.”
Ustazah ketawa.
No comments:
Post a Comment