Saturday, September 26, 2009

Nostalgia Part 1: Bila Umur Kali Pertama Anda Melakukannya?

8 tahun. Itulah umur pertama aku melakukannya. Pada usia muda, aku telah melakukannya. Atas dorongan mak bapak. Aku disogokkan dengannya.


Orang lain umur 8 tahun masih lagi nak belajar menulis. Masih bermain dengan buku mewarna. Aku pulak duduk mengulang baca citer Shakespeare ‘A Midsummer Night’s Dream’ versi translation Bahasa Malaysia yang tajuknya panjang nak mampus…Mimpi Di Suatu Malam Dalam Pertengahan Musim Panas.


Ni semua sebab ayah aku gi beli buku tu kat pesta buku. Abang aku dapat gak buku tajuk Raja Lear (King Lear) tapi dia tak baca. Dia suruh aku baca pas tu citer kat dia, dia pulak gi main panjat pokok. Pandainyer.


Waktu kecik-kecik dulu, budak-budak lain dibawa gi jenjalan tengok toys ke main kat game arcade ke, aku dan abang pulak dibawa gi kedai buku. Itulah padahnya kalau bapak Guru Besar dan mak Cikgu. Sementelahan kedai buku Eaton’s tu merangkap kedai toys sekali, abang aku gi tengok toys G.I Joe dan Masked Rider a.k.a Satria Baja Hitam, aku pulak duduk mengadap kamus dan buku cerita siri Kancil, ayah aku belek koleksi buku Perlembagaan Malaysia, mak aku tengok buku resipi dan majalah. Elok sangatlah anak beranak beriadah di kedai buku. Yang penting setiap bulan kitorang akan beli buku, syaratnya buku tu takde kat Pusat Sumber Sekolah. So aku pun belilah kamus dan buku cerita Si Pungguk Membalas Budi abang aku plak beli kamus jugak (lagi tebal dan besar) dan buku cerita Kisah Si Duyung.


Sementelahan ayah aku guru besar kat Sekolah Rendah Pinawantai kat Kudat tu, tiap hujung minggu kalau tak turun Bandar Kota Kinabalu, kitorang akan melepak kat pusat sumber sekolah. Arghh...pathetic giler. Sebab ayah aku pegang kunci pusat sumber, so kitorang boleh suka-suka baca buku kat situ. Tapi dia tak bagi bawa balik. So aku bacalah buku cerita penyiasatan siri Enid Blyton: Famous Five, buku terbitan DBP, buku siri pengembaran Sang Kancil, ensiklopedia 12 buku yang mengandungi tajuk Angkasa, Dinosaur, Pengangkutan, Ikan, Burung, dan yang lain aku tak ingat serta macam-macam buku lagi yang mempunyai cover yang cantik.
Buku-buku novel yang tebal semacam tu, memang aku tak pandang. Paham-pahamlah novel terbitan DBP akhir tahun 80-an sehingga awal tahun 90-an, cover-cover semua abstrak. Nasib baik aku tak baca, kalau tak mesti kepala aku menjadi complicated.


Tapi aku suka baca buku koleksi Puisi-Puisi Pilihan Usman Awang yang cover putih dan tulisan biru muda dan merah tu. Umur lapan tahun minat puisi Usman Awang, puisi Ke Pusara Bonda, Gadis Tionghua dan Guru O Guru. Paling aku ingat pantun awal puisi Guru itu…


Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dan beberapa rangkap awal,


Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
…..


Aku percaya, puisi-puisi Usman Awang-lah yang banyak memberi aku pendedahan kesusasteraan Melayu. Mulanya aku minat buku tu sebab penulisnya bernama Usman Awang. Kerana naif sangat, aku ingat Usman Awang tu nama pena ayah aku. Aku ingatkan ayah aku yang tulis buku tu. Chet…rupanya Tongkat Warrant punya kerja.


Bila tanya kat ayah aku kalau-kalau dia pernah menulis puisi, ayah aku kata masa kat Maktab Perguruan dulu dia pernah hantar puisi untuk bulletin maktab dan pernah hantar ke surat-surat khabar terbitan tempatan dan nasional juga majalah Dewan Sastera (ada lagi ke majalah ni). Nama pena ayah aku masa tu adalah Biru Langit. Hampeh. Tak cool langsung.


Satu buku lagi yang aku rajin sangat nak belek adalah Kamus Dewan yang tebal tu. Kamus ayah aku tu edisi kedua, warna biru. Rajin sangatlah aku nak belek semata-mata nak belajar perkataan baru. Sementelahan mak aku tu cikgu BM, kadang-kadang bila bercakap kat rumah dia mengeluarkan vocabulary Bahasa Melayu yang aku tak pernah dengar, makanya aku akan merujuk kat Kamus Dewan walaupun perkataan tu sebenarnya adalah Bahasa Brunei. Maka menangis-nangislah Bambi mencari dalam kamus. Bila mak kau kata “Kau ni melating sangat!” tak ke kau terkesima cuba mencari maksudnya. Tertanya-tanya sama ada mak kau puji ke kutuk kau. Bila mak kau kata “Kau ni antik sangat!”, kau buka Kamus Dewan, ‘antik adalah barangan lama yang berharga’, tak ke kau bangga memikirkan mak kau panggil kau macam tu sedangkan maksud mak kau sebenarnya ‘kau ni cenggeng, sensitip, mudah dapat sakit’. Ambik kau 3 in 1 punya vocab. Mak kau boleh guna double Dutch dan double-talk kat kau. Maka apakah double-take kau? Bambi menyimpan emotional baggage kat emak sendiri. Isk…isk…isk….


Mesti korang tertanya-tanya, apasal aku boleh je menghadap cerita Shakespeare yang menyesakkan jiwa berbanding tulisan Keris Mas atau Shahnon Ahmad atau A. Samad Said? Sebabnya, buku yang ayah aku belikan tu berbentuk komik hitam putih. Memandangkan usia 8 tahun nak mengambarkan jalan cerita sangatlah susah (sebab takdenya dapat minum Enfagrow, Dugro bagai untuk memandaikan kepala hotak), makanya gambar tu menambahkan keseronokan membaca. Maka aku kenallah dengan watak-watak dalam cerita tu cam pari-pari Puck, Raja Oberon dan Ratu Titania (ke Tatiana) serta lelaki bekepala keldai. Empat watak utama yang lain pulak, dua lelaki Lysander, Demetrius dan dua perempuan Hermia dan Helena. Yang aku ingat adalah konflik cinta diorang ni.


Mamat A bercinta dengan Minah Y, tetapi Minah Y dijodohkan dengan Mamat B yang memang sukakan Minah Y, tapi Minah Y tak sukakan Mamat B. Minah X pula minat kat Mamat B tapi Mamat B tak minat Minah X. Minah X tuduh Minah Y rampas Mamat B. Mamat A dan Minah Y melarikan diri ke dalam hutan sambil dikejar oleh Mamat B dan Minah X. (<--amacam? Syncope tak nak paham) Raja pari-pari Oberon suruh khadam pari dia si Puck tu gi ambil madu dari bunga yang terkena panahan arrow dewi cinta (cupid kot?) untuk menyatukan kembali cinta empat orang ni. Sebelum tu Puck kena selubungi dorang ni dengan kabus sampailah mereka semua mengantuk dan tertidur. Puck perahkan madu bunga ke kelopak mata setiap seorang dari mereka ni. Apabila mereka bangun nanti, mereka akan jatuh cinta pada orang pertama yang mereka pandang. Adalah mula-mula mixed up sebab si Puck ni pari-pari bendul bengap sikit. Tapi lastly, Mamat A kembali bercinta dengan Minah Y dan Mamat B dengan Minah X. Raja Oberon ni ada pula ceritanya dengan Ratu Titania pasal berebutkan hamba. Puck perahkan madu cinta berahi tu (ya, itulah nama madu tu dalam terjemahan BM. Kecik-kecik lagi dah belajar perkataan ‘berahi’) kat mata Ratu Titania tapi ratu Titania terjatuh cinta dengan lelaki kepala keldai yang disumpah oleh Raja Oberon. Yang last sekali Raja Oberon dan Ratu Titania menari bersama…bla…bla…


Seriyes, aku boleh ingat jalan cerita citer tu sebab aku baca berkali-kali. Atas bantuan gambar komik tu, Shakespeare punya citer takdelah haywire sangat. Aku tak pasti kalau mereka masih ada buku tu, buku yang aku ada tu dah hilang. Cover belakang dia warna merah, tetap aku tak boleh lupa tajuk dia yang panjang tu.


So bilakah kali pertama anda melakukannya?...Membaca cerita Shakespeare. Secara sukarela.

1 comment:

under the sky said...

pernah melakukannya beberapa tahun yang lalu. kebetulan terjumpa buku kulit merah + penuh gambar didalamnya....dek kerana harganya yang murah aku terus membelinya. sekarang sudah lupa dimana tempat letaknya

nuff.nang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...