Tuesday, April 13, 2010

Perjalanan Mencari Akar Galur – Bahagian 1

Aing (air) yang dalam, batambah (bertambah) dalam
Hujan di ulu (hulu), balum (belum) pun taduh
Hati yang dandam (rindu), batambah dandam
Sakit dahulu, balum pun sambuh (sembuh)


Baru-baru ni aku telah join group ‘Lakastah Bekurapak Melayu Brunei’ atau maksudnya Mari Bertutur (Bahasa) Melayu Brunei di Facebook. Pada mulanya, aku mengikuti group ini hanya sekadar suka-suka. Terhibur membaca posting-posting di wallnya yang melucukan. Mengingatkan aku semula tentang bahasa ibunda yang telah lama aku tidak menuturkan. Teringat kembali, perkataan-perkataan yang mungkin kini sudah kurang kedengaran.

Datuk dan Nenek di kedua-dua belah ibu dan ayah aku adalah berasal dari Brunei. Hanya saja, keturunan ibu berhijrah ke Sabah lebih awal berbanding keturunan ayah. Ayah sendiri dilahirkan di Brunei dan berhijrah bersama datuk dan nenek sewaktu pemberontakan di negara asal mereka. Kisah ini diceritakan sendiri oleh ayah pada satu ketika dulu. Tidak teringat tentang kisah lanjut pemberontakan tersebut. Nenek dan datuk berhijrah dengan berjalan kaki dan bersampan sehelai sepinggang. Sehingga kini, 70 peratus saudara-mara masih menetap dan berkembang di Brunei.

Aku sebagai generasi yang dibesarkan di pelbagai latar keadaan suku bangsa menempuhi cabaran mengekalkan identiti suku bangsa sendiri. Dibesarkan di kalangan suku Rungus di Pinawantai, Kudat; diikuti suku Sungai di Pitas dan Kadazan-Dusun, Bajau, Sino dan sebagainya di Bandaraya Kota Kinabalu menjadikan aplikasi penggunaan bahasa Brunei terbatas. Pertuturan antara suku berbeza diantarakan oleh lingua franca iaitu bahasa kebangsaan dalam tonasi baku.


Penguasaan kosa kata dan tatabahasa aku banyak dipengaruhi oleh ibu. Ibu adalah cikgu Bahasa Malaysia (Melayu), dan sebagai seorang ‘non-pathological hereditary OCD’ ibu mementingkan kesempurnaan pertuturan dan penulisan. Ibu sering menegur dan memperbetulkan (<--ibu tidak bersetuju dengan imbuhan mem- -per- dan –kan dalam satu perkataan. “Tidak seharusnya ada 3 imbuhan bagi satu kata dasar,” katanya) setiap pertuturan dan penulisan. Pernah suatu ketika, ketika telah kehabisan buku untuk dibaca, ibu memberikan buku Kumpulan Simpulan Bahasa dan Peribahasa untuk dipelajari. Aku masih ingat pada buku itu, ia berkulit hijau nipis dan di kulitnya adalah sebatang pena berwarna emas.

Hasilnya, aku tidak pernah mendapat gred rendah dari A dalam Bahasa Malaysia dari sekolah rendah hingga menengah. Ibu akan memberi ‘taklimat’ dan ‘ceramah’ percuma apabila aku mendapat markah yang hampir jatuh ke A-. Kalau ada pejuang bangsa yang harus dijulang, ibulah antaranya. Kerana penekanan bahasa Melayu yang tinggi dalam pertuturan seharian di rumah, kami jarang bertutur dalam lidah ibunda Melayu Brunei. Satu-satunya masa di mana bahasa ini dituturkan adalah sewaktu berada di kalangan saudara-mara yang lain di kampung. Sewaktu inilah aku akan mempelajari serba sedikit kosa kata Melayu Brunei. Kadang kala perkataan-perkataan ini akan mencetus gelak tawa. Pertama kerana tidak memahaminya, kedua kerana maksud sebenarnya bukanlah seperti yang diteka dan ketiga kerana bahasa alternative itu berbunyi lucu berbanding bahasa Melayu konvensional.

Sebagai contoh, belingkawat membawa maksud pelangi; kuyuk adalah anjing; selahau adalah terseliuh; bahai untuk plastik dan sebagainya. Bahasa Melayu Brunei tidak banyak perbezaan besar berbanding bahasa Melayu asli. Ia juga mempunyai pengaruh Minangkabau dari Pagar Ruyung kerana asal galur generasi Brunei adalah dari masyarakat Minang di pelbagai negeri di Indonesia termasuk Rawa. Penuturnya bertaburan di pelusuk kepulauan Borneo seperti Sabah dan Sarawak, malahan ada tiga generasi Brunei terdapat di Balik Pulau di Semenanjung. Tidak memeranjatkan juga bahawa bahasa Melayu Brunei mendapat tempiasan unsur kosa kata Suluk di mana majoritinya adalah masyarakat dari negara Filipina. Percampuran ini berlaku di kepulaun Borneo di mana ia pernah berada di bawah pemerintahan Sultan Sulu, bersempadanan pula dengan Kalimantan. Ini menguatkan lagi pembuktian bahawa masyarakat Nusantara adalah berasal dari satu rumpun. Bahasa Melayu Brunei boleh dikatakan (pada pandangan aku) sebagai bahasa terbitan atau fusion hasil dari percampuran pelbagai bahasa sepertimana bahasa Melayu asli mendapat pengaruh kosa kata Hindu (Sanskrit), Portugis, Jawa dan sebagainya. Ia boleh dianggap (bagi aku) sebagai bahasa yang lebih muda jika dibandingkan dengan bahasa Sanskrit. Jika Sanskrit telah mengalami kepupusan, bahasa Brunei boleh dikatakan dalam graf menurun. Generasi-generasi Melayu Brunei dan Kedayan telah banyak terpengaruh dengan bahasa Melayu asli disebabkan oleh pendedahan terhadap unsur media massa samada melalui media elektronik dan media cetak.

Keunikan bahasa Melayu Brunei jika dibandingkan dengan bahasa Melayu asli adalah melalui intonasi pertuturannya. Jika bahasa Melayu mempunyai tonasi ringkas dan berima penegasan, bahasa Melayu Brunei mempunyai lenggok yang lebih lembut dan adakalanya mendayu. Tidak keterlaluan jika aku mengatakan bahawa intonasinya adalah sedikit melating (gedik). Sebab itu aku merasakan sedikit sukar untuk menahan ketawa mendengar penuturan bahasa ini di kalangan saudara mara. Malahan, dalam bentuk penulisan juga ia masih tetap melucukan.

Isu yang belum selesai sehingga kini adalah perpecahan antara suku Melayu Brunei dan suku Kedayan. Pada dasarnya, kedua suku ini menuturkan bahasa yang hampir sama dan perbezaan ketara adalah pada sebutan. Kosa kata dan intonasi hampir sama. Sebutan seperti ‘awu’ (ya) pada Melayu Brunei menjadi ‘ahu’ pada suku Kedayan. Perpecahan suku ini juga terjadi di negera Brunei Darussalam itu tersendiri dan dipisahkan melalui daerah petempatan. Perpecahan ini tidaklah termanifestasi melalui permusuhan atau perbalahan, hanya sekadar perpecahan persukuan itu sendiri yang kekal menjadi dua suku dengan persamaan yang sangat nyata.

Ilham untuk menulis entry ini timbul dari imbasan lagu berpantun di awal entry ini. Lagu ini pertama kali aku dengari sewaktu aktiviti bedundang (berdondang-dendang) pada majlis perkahwinan sepupu lebih kurang 10 tahun dahulu. Ia dinanyikan oleh golongan wanita berumur secara beramai-ramai bersama permainan kulintangan (gamelan) dan gong serta ketukan gelen kosong. Biasanya bedundang akan dimulakan oleh satu kumpulan kecil secara persepakatan spontan dan sedikit demi sedikit disertai oleh yang lain. Ini menjadikannya suatu fenomena menarik di mana semakin ramai yang menyertainya maka semakin kuat dan meriah lagu ini.

Lagu di atas menceritakan tentang kekecewaan dan hati yang rindu seperti konsep “I miss you but I hate you”. ‘Sesuai’ sangat dinyanyikan di majlis perkahwinan. Apabila satu lagu dinyanyikan, ia akan dituruti oleh lagu-lagu warisan yang lain seperti Adai Adai dan Alus Jua Dindang (Indahnya Dendang). Dari kesatuan suara harmoni, ia kemudian akan menjadi sahut-sahutan di mana akan adanya dua kumpulan penyanyi. Setelah satu kumpulan lain menghabiskan satu rangkap pantun, ia akan disahut oleh satu rangkap yang lain. Kemeriahan nyanyian spontan sebegini menguji kreativiti dan memori golongan wanita berumur untuk mengingati kembali pantun-pantun lama yang sangat indah dan berseni penciptaannya atau mencipta pantun-pantun baru. Nyanyian atau dundang sebegini akan menarik perhatian ramai terutamanya generasi muda. Di sinilah generasi muda akan belajar lirik dan irama lagu-lagu tradisi begini.

Walaubagaimanapun kini, bersama arus kemodenan, warisan tradisi sebegini semakin hilang. Ia digantikan dengan pesta karaoke lagu-lagu moden dan aktiviti joget lambak. Lagu dan konsep hiburan lama hanya tinggal sebagai peragaan seni, dipersembahkan untuk tontonan pada majlis-majlis kebudayaan rasmi sahaja. Natijahnya generasi baru sudah tidak tahu pada kebudayaan ini.

Perjalanan mencari akar galur diteruskan…

No comments:

nuff.nang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...