Wednesday, September 09, 2009

Hidup

Permainan hidup itu suatu yang tidak terjangkakan. Kelmarin kita gembira seribu rasa, hari ini perasan lain pula yang tiba dan esok siapakah yang bisa menjangka. Ujian Tuhan itu juga berbeza, adakalanya terasa bebannya terlalu berat untuk diterima. Terkadang manusia mudah sahaja merangkumkan perkara malang sebagai suatu kesialan dan sumpahan. Manusia seperti kita, yang lemah Iman-nya sering bertanya “Tuhan, kenapa siksa ini hanya padaku sahaja? Berikanlah hamba masa untuk bangkit dari derita lama”

Kita terlupa satu hakikat “Tuhan tidak akan menguji manusia akan suatu yang tidak tertanggung oleh hambanya,” meski terasa berat, ia masih pada kapasiti kita. Pada ketika nikmat melimpah pernahkah kita berdoa “Oh Tuhan! Janganlah kurniakan rezeki padaku sahaja, cukuplah nikmat mu setakat ini sahaja”? Ternyata ketika itu kita terus meminta-minta. Di manakah rasa malu kita tika merintih ketika Tuhan menduga, setelah nikmat banyak diberi-Nya.

Kelemahan kita manusia, mahu nikmat yang banyak dan musibah sedikit sahaja. Mahu menadah menerima, memberi sekelumit sekadar ada. Hanya mahir berkata tapi tidak merasa.

Derita insan lain bukan derita kita. Jadi rasionalisasi kita atas dasar gembira. Sedang rintihan mereka pada tunjang derita. Kita hanya mampu meminta mereka untuk bersabar, ada hikmah di sebalik musibah. Cuba jika kita yang tertimpa, pasti kita akan tanyakan apa hikmahnya di balik semua sengsara? Cubalah kala kita luka dan duka. Ketika itu pertimbangkan semula hujah-hujah yang berjela tentang hikmah derita. Nescaya kita akan persetankan semuanya, berkatalah “Kau tidak tahu derita aku!”

Aku ada kematian

Aku ada kehilangan

Aku ada kesakitan

Aku ada kedukaan

Sedang kau hanya memerhati

…dan meminta aku untuk berlapang dada, bertabah hati.

No comments:

nuff.nang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...