
Kadang-kadang di kala kita berduka dan terluka, kita berasa yang kitalah manusia paling malang dalam dunia. Kita menyumpah-nyumpah nasib diri dan beranggapan betapa siallah hidup ini. Dari satu ke satu perkara, dugaan datang betimpa-timpa. Hati semakin parah dan ketabahan pun goyah. Ada kala semangat hidup tergugah. Berasa seperti tiada siapa yang ambil peduli. Tiada siapa yang mengerti. Dan tiada siapa yang dapat diceritakan keluh kesah hati. Sering kali kita alpa dan terlupa. Kerana memang resamnya manusia. Kita punyai Allah dan DIA sentiasa ada untuk kita.
Kita sandarkanlah segala kedukaan dan keluh kesah kepada yang Maha Berkuasa. DIA-lah memberi ujian dan DIA-lah yang membuka jalan. Hamparkan sejadah, ruku’, sujud dan menangislah. Kerna Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengasihani maka lapangkanlah hati untuk diubati. Ceritakan segala masalah, duka, kebimbangan dan segala-gala kepadaNYA dan redha-lah. Qada dan qadar Allah itu berjalan dalam suatu cara yang kita tidak ketahui, maka percayalah bahawa Allah punca perancangan yang lebih baik untuk kita kerana sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Sesuatu kesedihan, kesulitan dan kepayahan pasti akan disusuli kegembiraan, kelapangan dan kesenangan.
Makanya jika kita berasa duka dan terluka percayalah bahawa Islam itu adalah perkhabaran gembira, Iman itu hadiah yang lebih berharga dan Syurga itu menanti kita. Hanya saja amal ibadah kita menentukan cepat atau lambatnya ketibaan kita ke sana. Berlapang dadalah dan berserah kepadanya, kerana dalam peliharaan Allah, kesejahteraan itu ada. Allah SWT adalah pengubat segalanya. Dalam sedih dan gembira, dalam tangis dan tawa. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment